Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu sia-sia dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja yang sebenar-benarnya. Tiada tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia. Dan sesiapa yang menyeru tuhan yang lain di samping Allah yang dia tidak mempunyai sebarang bukti mengenainya, maka sesungguhnya perhitungannya di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang kafir tidak akan berjaya. Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, ampunilah dan rahmatilah, dan Engkaulah sebaik-baik pemberi rahmat.
Nota: Semakan Sheikh Redwan berdasarkan semakan beliau untuk Himpunan Risalah bab Al-Mathurat dalam nota kaki no. 82 menyatakan bahawa: Diriwayatkan daripada Muhammad bin Ibrahim al-Teimi daripada bapanya katanya: Kami diarahkan oleh Rasulullah s.a.w. menyertai satu pasukan tentera dan baginda memerintahkan kami supaya membaca pada pagi dan petang, "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu?…" Apabila kami membacanya, kami berjaya memperolehi harta perang dan selamat. Riwayat Ibnu al-Sunni, Abu Nuaim dan Ibnu Manduh. Al-Hafiz berkata: Sanad Ibnu Manduh boleh diterima.