Maka bertasbihlah kepada Allah ketika kamu berada di waktu petang dan ketika kamu berada di waktu pagi. Dan bagi-Nya segala puji di langit dan di bumi, di waktu petang dan di waktu zohor. Dia mengeluarkan yang hidup daripada yang mati dan mengeluarkan yang mati daripada yang hidup, dan menghidupkan bumi sesudah matinya. Dan demikianlah kamu akan dikeluarkan. Di antara tanda-tanda-Nya ialah Dia menciptakan kamu daripada tanah, kemudian tiba-tiba kamu menjadi manusia yang bertebaran. Di antara tanda-tanda-Nya pula ialah Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis kamu sendiri supaya kamu berasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antara kamu kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. Dan di antara tanda-tanda-Nya ialah penciptaan langit dan bumi serta kepelbagaian bahasa dan warna kulit kamu. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berilmu. Dan di antara tanda-tanda-Nya ialah tidurmu pada waktu malam dan siang serta usahamu mencari sebahagian kurniaan-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mendengar. Dan di antara tanda-tanda-Nya ialah Dia memperlihatkan kamu kilat yang menimbulkan ketakutan dan harapan, dan Dia menurunkan air hujan dari langit lalu menghidupkan bumi sesudah matinya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berakal. Dan di antara tanda-tanda-Nya ialah langit dan bumi berdiri teguh dengan perintah-Nya. Kemudian apabila Dia memanggil kamu sekali panggil dari bumi, tiba-tiba kamu keluar. Dan bagi-Nya segala yang ada di langit dan di bumi. Semua taat kepada-Nya.
Nota: Semakan Sheikh Redwan berdasarkan semakan beliau untuk Himpunan Risalah bab Al-Mathurat dalam nota kaki no. 83 menyatakan bahawa: Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang membaca pada waktu pagi, \"(Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka bertasbihlah kepada Allah semasa kamu berada pada waktu malam dan semasa kamu berada pada waktu subuh. Serta pujilah Allah yang berhak menerima segala puji (dari sekalian makhlukNya) di langit dan di bumi, dan juga (bertasbihlah kepadaNya serta pujilah Dia) pada waktu petang dan semasa kamu berada pada waktu zuhur…\" Dia akan memperolehi apa yang ditinggalkannya pada hari itu dan apabila dia membacanya pada waktu petang dia akan memperolehi apa yang ditinggalkannya pada waktu malam." Riwayat Abu Daud.