Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan kamu melihat manusia masuk ke dalam agama Allah dengan beramai-ramai. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah keampunan-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Penerima taubat.
Nota: Semakan Sheikh Redwan berdasarkan semakan beliau untuk Himpunan Risalah bab Al-Mathurat dalam nota kaki no. 91 menyatakan bahawa: Mereka datang kumpulan demi kumpulan sedangkan sebelum pembukaan Mekah mereka datang seorang demi seorang. Arab datang menemui baginda dari seluruh bumi secara sukarela.
Nota: Semakan Sheikh Redwan berdasarkan semakan beliau untuk Himpunan Risalah bab Al-Mathurat dalam nota kaki no. 92 menyatakan bahawa: Hadis Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepada seorang sahabatnya: "Bukankah anda telah menghafal: \"Apabila datang pertolongan Allah…\" Jawabnya: Ya. Baginda bersabda: (Ia menyamai) suku al-Quran." Riwayat al-Tirmizi dan katanya hadis ini hadis hasan.