Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada kerisauan dan kesedihan, aku berlindung dengan-Mu daripada kelemahan dan kemalasan, aku berlindung dengan-Mu daripada pengecut dan kedekut, dan aku berlindung dengan-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.
Nota: Semakan Sheikh Redwan berdasarkan semakan beliau untuk Himpunan Risalah bab Al-Mathurat dalam nota kaki no. 108 menyatakan bahawa: Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri r.a. katanya: Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. masuk ke masjid dan baginda terserempak dengan seorang lelaki Ansar yang bernama Abu Umamah, lalu baginda bersabda: Wahai Abu Umamah, kenapa saya lihat engkau duduk di masjid di luar waktu sembahyang? Abu Umamah menjawab: Masalah dan hutang yang saya hadapi, wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Apakah boleh saya ajarkan engkau satu bacaan yang apabila engkau baca Allah akan menghilangkan segala kerisauan engkau dan menyelesaikan hutang engkau? Abu Umamah berkata: Saya berkata: Sudah tentu, wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Katakan ketika pagi dan petang, "Ya Allah, saya mohon lindunganMu daripada rasa risau dan sedih, saya mohon lindunganMu daripada rasa lemah dan malas, saya mohon lindunganMu daripada rasa takut dan kedekut, saya mohon lindunganMu daripada dicengkam hutang dan dikuasai manusia". Abu Umamah berkata: Saya pun lakukan dan Allah telah menghilangkan kerisauan saya dan telah melunaskan hutang saya." Riwayat Abu Daud.