Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Katakanlah: Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah tempat bergantung. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya.
Nota: Semakan Sheikh Redwan berdasarkan semakan beliau untuk Himpunan Risalah bab Al-Mathurat dalam nota kaki no. 96 menyatakan bahawa: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Khubaib r.a. katanya: "Pada suatu malam yang hujan dan gelap gelita kami keluar mencari Rasulullah s.a.w. untuk mendoakan kami dan kami berjaya menemui baginda. Baginda bersabda: Katakanlah. Tetapi saya tidak katakan apa-apa. Baginda bersabda: Katakanlah. Tetapi saya tidak katakan apa-apa. Baginda bersabda: Katakanlah. Lalu saya berkata: Wahai Rasulullah, apakah yang perlu saya katakan? Baginda bersabda: Katakanlah Dialah Tuhan yang Maha Esa dan juga surah mu‘awwizatain ketika petang dan pagi sebanyak tiga kali. Ia akan melindungimu daripada segala-galanya." Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasaie. Menurut al-Tirmizi hadis ini hasan sahih.