Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Alif Lam Mim. Kitab ini tidak ada sebarang keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara ghaib, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan orang-orang yang beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan apa yang diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya hari akhirat. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.
Nota: Semakan Sheikh Redwan berdasarkan semakan beliau untuk Himpunan Risalah bab Al-Mathurat dalam nota kaki no. 77 menyatakan bahawa: Al-Darimi dan al-Baihaqi di dalam al-Syu‘ab meriwayatkan hadis daripada Ibnu Mas‘ud r.a. katanya: "Sesiapa yang membaca sepuluh ayat surah al-Baqarah pada awal pagi, syaitan tidak akan mendekatinya hingga ke petang. Apabila dia membacanya ketika petang, syaitan tidak akan mendekatinya hingga ke pagi. Dia juga tidak akan melihat perkara yang tidak disukainya pada keluarga dan hartanya." Sebuah hadis diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir dan al-Hakim menyenaraikannya sebagai hadis sahih, daripada Ibnu Mas‘ud r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Orang yang membaca sepuluh ayat, empat daripada awal surah al-Baqarah, ayat al-Kursi, dua ayat selepasnya dan akhir al-Baqarah, syaitan tidak akan masuk ke rumahnya hingga ke subuh."