Maha Suci Allah. Segala puji bagi Allah. Tiada tuhan melainkan Allah. Allah Maha Besar.
Nota: Semakan Sheikh Redwan berdasarkan semakan beliau untuk Himpunan Risalah bab Al-Mathurat dalam nota kaki no. 113 menyatakan bahawa: Diriwayatkan daripada Amru bin Syuaib daripada bapanya daripada datuknya r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang bertasbih mensucikan Allah sebanyak seratus kali pada waktu pagi dan seratus kali pada waktu petang dia seperti orang yang melakukan haji sebanyak seratus kali. Sesiapa yang memuji Allah seratus kali pada waktu pagi dan seratus kali pada waktu petang dia seperti orang yang menunggang seratus ekor kuda di jalan Allah. Sesiapa yang bertahlil sebanyak seratus kali pada waktu pagi dan seratus kali pada waktu petang dia seperti orang yang memerdekakan seratus hamba keturunan Ismail. Sesiapa yang bertakbir seratus kali pada waktu pagi dan seratus kali pada waktu petang tiada orang lain pada hari itu yang akan dikurniakan sama sepertimana kurniaan yang diterimanya melainkan orang yang berzikir sama sepertimana zikirnya atau lebih daripada itu." Riwayat al-Tirmizi, katanya: Hadis hasan. Diriwayatkan juga oleh al-Nasaie dengan hadis yang hampir sama. Diriwayatkan juga daripada Ummu Hani’ r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya: Wahai Ummu Hani’, jika pada waktu pagi engkau bertasbih sebanyak seratus kali, bertahlil sebanyak seratus kali, bertahmid sebanyak seratus kali dan bertakbir sebanyak seratus kali, seratus tasbih itu menyamai seratus ekor unta yang engkau korbankan dan seratus tahlil menyebabkan tiada dosa yang masih ada sebelum dan selepas membacanya." Riwayat al-Tabarani.