Tiada paksaan dalam agama. Sesungguhnya telah nyata kebenaran daripada kesesatan. Oleh itu, sesiapa yang tidak percaya kepada Taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada tali yang amat teguh yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Allah Pelindung orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya. Dan orang-orang yang kafir, penolong mereka adalah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
Nota: Semakan Sheikh Redwan berdasarkan semakan beliau untuk Himpunan Risalah bab Al-Mathurat dalam nota kaki no. 77 menyatakan bahawa: Al-Darimi dan al-Baihaqi di dalam al-Syu‘ab meriwayatkan hadis daripada Ibnu Mas‘ud r.a. katanya: "Sesiapa yang membaca sepuluh ayat surah al-Baqarah pada awal pagi, syaitan tidak akan mendekatinya hingga ke petang. Apabila dia membacanya ketika petang, syaitan tidak akan mendekatinya hingga ke pagi. Dia juga tidak akan melihat perkara yang tidak disukainya pada keluarga dan hartanya." Sebuah hadis diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir dan al-Hakim menyenaraikannya sebagai hadis sahih, daripada Ibnu Mas‘ud r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Orang yang membaca sepuluh ayat, empat daripada awal surah al-Baqarah, ayat al-Kursi, dua ayat selepasnya dan akhir al-Baqarah, syaitan tidak akan masuk ke rumahnya hingga ke subuh."
Nota: Semakan Sheikh Redwan berdasarkan semakan beliau untuk Himpunan Risalah bab Al-Mathurat dalam nota kaki no. 78 menyatakan bahawa: Taghut ialah syaitan.