Dan segala muka akan tunduk kepada Tuhan Yang Hidup Kekal lagi terus-menerus mentadbirkan. Dan sesungguhnya telah rugilah orang yang menanggung dosa kezaliman. Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh sedangkan dia beriman, maka dia tidak perlu takut kepada kezaliman dan penindasan.
Nota: Semakan Sheikh Redwan berdasarkan semakan beliau untuk Himpunan Risalah bab Al-Mathurat dalam nota kaki no. 81 menyatakan bahawa: Diriwayatkan daripada al-Qasim bin Abdul Rahman r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda nama Allah yang teragung ada pada tiga surah al-Quran iaitu pada al-Baqarah, Aali Imran dan Taha. Al-Qasim berkata: Saya mencari nama ini dan saya temui dalam surah al-Baqarah ialah ayat al-Kursi, "Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya", dalam surah Aali Imran "Alif, Laam, Miim. Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya", dan dalam surah Taha, "Dan segala muka akan tunduk dengan berupa hina kepada Allah Yang Tetap Hidup, lagi Yang Kekal Mentadbirkan makhluk selama-lamanya". Hadis ini riwayat al-Hakim tetapi Imam Zahabi tidak memberi komentarnya.