Kepunyaan Allah segala yang ada di langit dan di bumi. Jika kamu lahirkan apa yang ada dalam hatimu atau kamu sembunyikan, nescaya Allah akan menghisabmu tentangnya. Dia mengampuni sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya. Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Rasul telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, demikian juga orang-orang yang beriman. Masing-masing beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya — 'Kami tidak membezakan antara seorang pun rasul-rasul-Nya.' Mereka berkata: 'Kami dengar dan kami taat. Ampunilah kami, wahai Tuhan kami, dan kepada-Mu tempat kembali.' Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala daripada kebaikan yang diusahakannya dan dia mendapat seksa daripada kejahatan yang diusahakannya. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan berat sebagaimana yang Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah Pelindung kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.
Nota: Semakan Sheikh Redwan berdasarkan semakan beliau untuk Himpunan Risalah bab Al-Mathurat dalam nota kaki no. 77 menyatakan bahawa: Al-Darimi dan al-Baihaqi di dalam al-Syu‘ab meriwayatkan hadis daripada Ibnu Mas‘ud r.a. katanya: "Sesiapa yang membaca sepuluh ayat surah al-Baqarah pada awal pagi, syaitan tidak akan mendekatinya hingga ke petang. Apabila dia membacanya ketika petang, syaitan tidak akan mendekatinya hingga ke pagi. Dia juga tidak akan melihat perkara yang tidak disukainya pada keluarga dan hartanya." Sebuah hadis diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir dan al-Hakim menyenaraikannya sebagai hadis sahih, daripada Ibnu Mas‘ud r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Orang yang membaca sepuluh ayat, empat daripada awal surah al-Baqarah, ayat al-Kursi, dua ayat selepasnya dan akhir al-Baqarah, syaitan tidak akan masuk ke rumahnya hingga ke subuh."