Allah — tiada tuhan melainkan Dia, Yang Hidup Kekal lagi terus-menerus mentadbirkan makhluk-Nya. Dia tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang ada di langit dan di bumi. Siapakah yang dapat memberi syafaat di sisi-Nya tanpa izin-Nya? Dia mengetahui apa yang di hadapan mereka dan apa yang di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari ilmu-Nya melainkan apa yang Dia kehendaki. Kursi-Nya meliputi langit dan bumi, dan Dia tidak merasa berat memelihara keduanya. Dialah Yang Maha Tinggi, lagi Maha Besar.
Nota: Semakan Sheikh Redwan berdasarkan semakan beliau untuk Himpunan Risalah bab Al-Mathurat dalam nota kaki no. 77 menyatakan bahawa: Al-Darimi dan al-Baihaqi di dalam al-Syu‘ab meriwayatkan hadis daripada Ibnu Mas‘ud r.a. katanya: "Sesiapa yang membaca sepuluh ayat surah al-Baqarah pada awal pagi, syaitan tidak akan mendekatinya hingga ke petang. Apabila dia membacanya ketika petang, syaitan tidak akan mendekatinya hingga ke pagi. Dia juga tidak akan melihat perkara yang tidak disukainya pada keluarga dan hartanya." Sebuah hadis diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir dan al-Hakim menyenaraikannya sebagai hadis sahih, daripada Ibnu Mas‘ud r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Orang yang membaca sepuluh ayat, empat daripada awal surah al-Baqarah, ayat al-Kursi, dua ayat selepasnya dan akhir al-Baqarah, syaitan tidak akan masuk ke rumahnya hingga ke subuh."